Selasa, 25 Januari 2011

Graf Harga Emas 2010.


Salam...agak lama tak update blog ni...disebabkan kekangan masa oleh kerana kerja hakiki yang perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin.
Menarik dalam tempoh 5 minggu pertama tahun ni....harga emas menurun...sehingga ada yang tepuk dahi sebab dah lock pada harga rendah..tup..tup esok lagi rendah. Sehingga catatan ini dibuat harga terendah dicatat bagi tempoh 5 minggu pertama tahun 2011.
Bagi mereka yang faham ilmu emas ni....senyum sahaja bila melihat penurunan ni...biasalah..kan dah bagi tahu awal2 dulu...emas adalah pelaburan jangka panjang. Perhatikan graf emas kat atas! bandingkan bulan Januari hingga Disember...graf tak naik terus...ada turun naik sepanjang tahun...tapi harus diingat...pada akhirnya (bulan Disember) graf emas tu lebih tinggi daripada bulan Januari :)
Dan sejarah harga emas pun memang sebegitu jika dilihat sejak 10 tahun dahulu ( lihat ANALISA).
Oleh itu bagi pendapat saya senang jer....harga emas yang jatuh merupakan peluang keemasan kepada:
      1. yang ingin membeli emas.
      2. yang ingin menjadi Dealer baru di bawah jenama Public Gold.
      3. yang ingin berubah 'melindungi' harta simpanan masa depan.

Diucapkan tahniah juga kepada 2 orang Dealer (Encik Nordin dan En. Sukati) dibawah rangkaian www. mydinaremas.blogspot.com (update akan dibuat kemudian).

Fikir-fikirkan............Wassalam.

Sabtu, 27 November 2010

Inflasi naik 2% pada Oktober....

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober tahun ini naik dua peratus kepada 114.7 daripada 112.5 pada bulan yang sama tahun lepas.
Berbanding dengan bulan sebelumnya, IHP naik sebanyak 0.3 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober, IHP meningkat 1.7 peratus kepada 113.8 dibandingkan dengan 111.9 pada tempoh yang sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Jabatan berkenaan, kenaikan sebanyak 1.7 peratus dalam IHP disebabkan oleh peningkatan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks pakaian dan kasut serta komunikasi yang masing-masing susut 1.4 peratus dan 0.2 peratus.
Kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks makanan dan minuman bukan alkohol (2.3 peratus), pengangkutan (1.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus).
Peningkatan lain ialah indeks minuman alkohol dan tembakau (3.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan dan restoran dan hotel masing-masing sebanyak 1.9 peratus, kesihatan dan pendidikan masing-masing sebanyak 1.7 peratus, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus).

Khamis, 18 November 2010

Kuasa beli rakyat turun mendadak atau kos sara hidup naik?

BARU-BARU ini, saya berkesempatan melawat seorang rakan yang bertugas di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang terletak di Kuala Lumpur. Setiap kali lawatan dibuat, kelihatan ramai orang yang keluar masuk di ibu pejabat AKPK tersebut.
Mereka adalah golongan yang meminta nasihat daripada kaunselor-kaunselor bertauliah AKPK mengenai cara-cara untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu diri mereka. Peranan yang dimainkan oleh AKPK cukup besar. Saban tahun, beribu-ribu orang yang memohon nasihat kewangan daripada AKPK.
Sebagai agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), bolehlah dikatakan AKPK telah banyak membantu menyelesaikan masalah kewangan rakyat Malaysia. Perkhidmatan yang diberikan pula adalah percuma.
Masalah kewangan tidak mengenal sempadan negara. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja hatta negara sekalipun. Masalah kewangan jugalah yang merupakan antara punca utama penceraian.
Ini bermakna masalah kewangan perlu ditangani bermula dari rumah lagi. Tetapi malangnya, angka-angka terbaru menunjukkan sebaliknya seperti hutang isi rumah rakyat Malaysia pada tahun 2009 berada pada tahap yang tertinggi di Asia.
Menurut laporan tahunan 2009 BNM, hutang isi rumah rakyat Malaysia berada pada paras 76.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Adakah ini bermakna rakyat Malaysia suka berhutang berbanding rakyat negara Asia yang lain?
Berhutang kini cukup mudah kepada sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan cara moden untuk berhutang seperti penggunaan kad kredit seolah-olah ia menunjukkan kemewahan dan gaya hidup seseorang.
Mungkinkah ada faktor lain yang menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa berhutang seperti kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini sehingga menyebabkan kuasa beli rakyat Malaysia turun mendadak?
Secara jujurnya apa yang kebanyakan kita rasai, kos sara hidup pada masa kini mengalami peningkatan berbanding pada masa yang lalu. Kadang kala kenaikan kos sara hidup ini tidak boleh diterima oleh akal kerana pendapatan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang sama tetapi kos sara hidup meningkat begitu ketara.
Secara logiknya jika ringgit semakin kukuh kuasa beli rakyat Malaysia akan semakin meningkat. Seterusnya akan memperkukuhkan ekonomi isi rumah rakyat Malaysia. Malangnya, perkara ini tidak terjadi. Di manakah silapnya?
Adakah ini bermakna, lebih baik ringgit berada pada tahap yang rendah agar eksport negara akan dapat ditingkatkan seterusnya memperhebatkan lagi perdagangan negara kita?
Inilah strategi yang digunakan oleh kuasa-kuasa besar di dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China agar mata wang mereka berada pada tahap yang rendah. Perang mata wang di antara mereka menyebabkan China dipersalahkan sedangkan AS juga berminat supaya mata wang mereka berada pada tahap yang rendah.
Tetapi sekali lagi persoalannya, perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Ketika kerajaan berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat Malaysia melalui Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), adalah wajar ia seiring dengan peningkatan kuasa beli yang tinggi. Fokus utama adalah kos sara hidup.
Justeru, jika kerajaan telah menubuhkan makmal-makmal khas berkaitan dengan ekonomi seperti makmal rasionalisasi subsidi, usaha ini seharusnya dipanjangkan untuk menubuhkan satu makmal khas yang lebih utama lagi bagi meningkatkan kuasa beli rakyat pada kos sara hidup yang rendah.
Makmal ini berperanan untuk mengkaji bagaimana untuk mempertingkatkan kuasa beli rakyat selain daripada meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia. Di samping itu, makmal ini perlu mencadangkan pelbagai mekanisme untuk memastikan kos sara hidup rakyat pada tahap yang rendah.
Mekanisme-mekanisme ini mestilah realistik dan praktikal, seterusnya dirasai oleh semua pihak terutama majoriti rakyat yang kebanyakannya berpendapatan rendah.
Dengan penubuhan makmal ini, kerisauan rakyat mengenai kos sara hidup yang sering membelenggu rakyat Malaysia dapat dikurangkan, seterusnya nikmat kemakmuran ekonomi dapat dirasai oleh mereka.

Rohami Shafie
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

Isnin, 15 November 2010

Inflasi buatan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Malaysia dijangka berhadapan kenaikan inflasi berikutan peningkatan kecairan yang tinggi selepas Amerika Syarikat (AS) menyuntik AS$600 bilion (RM1.8 trilion) bagi merangsang ekonomi negara itu.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, perkara itu berlaku kerana AS pasti mengintai peluang pelaburan di negara-negara yang mampu memberi pulangan tinggi melalui kadar faedah seperti di negara-negara baru muncul termasuk Malaysia.
Menurut beliau, sebenarnya Malaysia mulai merasai peningkatan kecairan dengan kenaikan pasaran tempatan dan dijangkan berlaku permintaan mendadak terhadap sektor hartanah tempatan.
''AS akan melimpahkan duitnya ke seluruh dunia kerana negara itu tidak boleh melabur dalam negaranya sendiri memandangkan kadar faedah negara itu hampir sifar peratus,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Tambah beliau, peningkatan kecairan akibat kemasukan dolar AS itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap pembelian barangan dan keadaan itu dikhuatiri akan mengakibat peningkatan inflasi, ujar beliau.
Kadar inflasi negara setakat Ogos lalu adalah 2.1 peratus.
Bagaimanapun, MIER yakin Bank Negara Malaysia (BNM) memantau perkembangan itu secara dekat bagi membolehkan langkah-langkah awal dilaksanakan.
Baru-baru ini, bank pusat itu melaksanakan nisbah maksimum pinjaman berdasarkan nilai (LTV) dengan mengumumkan para pembeli yang mahu memiliki rumah ketiga dan seterusnya, hanya boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilainya.
Peraturan yang berkuatkuasa serta merta itu, bagaimanapun tidak menjejaskan kemudahan pembelian rumah pertama dan kedua.
BNM menjelaskan, langkah baharu itu bertujuan menyokong pasaran hartanah supaya terus stabil dan mampan, selain memastikan orang ramai akan mampu membeli rumah.
Sementara itu, mengulas mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada 2011 oleh Bank Dunia, Dr. Zakariah berkata, jangkaan tersebut adalah hampir selari dengan MIER dan kerajaan.
Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus, lebih rendah daripada unjuran kerajaan antara lima hingga enam peratus, manakala MIER pula 5.2 peratus.
Menurut beliau, kelembapan itu disebabkan oleh krisis kewangan yang berpanjangan di negara-negara kuasa besar.
Jelasnya, tanda-tanda kelembapan sebenarnya sudah pun dirasai pada suku ketiga dan keempat dengan kadar pertumbuhan eksport menyusut.
''Sebagai sebuah negara pengeksport, krisis ekonomi yang berpanjangan ini memang menjejaskan Malaysia.
''Barangan kita biasanya dibeli oleh Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat tetapi apabila ekonomi-ekonomi negara ini semakin lesu menyebabkan keupayaan mereka semakin terhad, sekali gus menjejaskan ekonomi kita.
''Situasi ini sebenarnya sudah berlaku pada suku ketiga apabila kadar pertumbuhan eksport menyusut. Ini bermakna pengimport kurang membeli barangan kita,'' ujarnya.
Bagaimanapun, Dr. Zakariah menjangkakan keadaan itu tidak begitu teruk berbanding semasa krisis subprima kerana ia telah mengakibatkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi sebaliknya ia hanya berbentuk 'down swing' sahaja.
Tambahnya, setakat ini kerajaan telah mengambil langkah dan pendekatan terbaik untuk menyerap permasalahan ekonomi di luar seperti mengukuhkan sistem kewangan dan institusi perbankan tempatan.
''Yang menjadi kebimbangan kita adalah faktor luaran kerana kita tidak dapat memastikan gelora yang berlaku dan sukar untuk membuat jangkaan secara tepat.
''Contohnya soal peperangan mata wang kerana apabila ia disebabkan ketidakseimbangan global, masalah ini tidak boleh kita selesai dan sebenarnya Malaysia tidak ada kuasa. Ini bergantung kepada pelakon-pelakon besar seperti AS, Eropah, China dan Jepun,'' tambah beliau.
Dr. Zakariah menambah, keutamaan Malaysia sekarang adalah menumpukan kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerana ia menentukan struktur dan hala tuju baru ekonomi negara dalam jangka panjang.
Jelasnya, ini kerana tumpuan kepada ekonomi bukan hanya untuk 2010 dan 2011, sebaliknya kelangsungan bagi tahun-tahun mendatang.
''Hebat atau tidak, kita yang menentukannya untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, kita telah 'memulakan permainan itu dan kita perlu bekerja untuk memenanginya'.
''Untuk menjayakannya semua pihak perlu serius melaksanakannya memandangkan ia bukan mudah kerana di tengah-tengah proses itu, dunia mungkin sekali lagi berhadapan dengan krisis,'' katanya.

Rabu, 10 November 2010

RAMALAN BANK DUNIA : EKONOMI MALAYSIA LEBIH PERLAHAN TAHUN HADAPAN....sediakan payung sebelum hujan!

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih perlahan daripada 7.4 peratus tahun ini kepada 4.8 peratus tahun depan walaupun pemulihan yang memberangsangkan tahun ke tahun.
Unjuran itu berdasarkan kepada kelemahan dalam ekonomi global yang menjadi punca ketidaktentuan dalam jangka sederhana.
Pakar ekonomi kanan Jabatan Asia dan Pasifik Bank Dunia, Philip Schellekens berkata, pemulihan kekal sukar memandangkan eksport dan beberapa petunjuk pengeluaran industri merosot pada pertengahan tahun dan akan terus menurun, selari dengan kemelut ekonomi berpanjangan di negara-negara utama.
''Aktiviti ekonomi dijangka terus menyusut pada separuh kedua 2010.
''Pertumbuhan ekonomi negara yang mencapai 7.4 peratus dijangka menurun kepada 4.8 peratus pada tahun depan,'' katanya pada pelancaran Laporan Dwitahunan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia 2010: Pertumbuhan Terangkum di sini hari ini.
Tambah beliau, permintaan domestik dijangka terus memacu pertumbuhan jangka sederhana dan pengukuhan permintaan daripada G3 dan China kekal menjadi punca ketidakstabilan.
Meskipun kemiskinan telah menjunam, ketidakadilan kekal pada peringkat yang tinggi dan cabaran-cabaran masih wujud kerana Malaysia dalam proses untuk menyertai liga negara-negara berpendapatan tinggi, menurut Pengarah Sektor Pembangunan Insan Asia Timur dan Rantau Pasifik, Emmanuel Jimenez.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yakin Malaysia mampu mencatat pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun depan.
Beliau berkata, menerusi tumpuan berterusan dalam mengenal pasti bidang, pelaksanaan dan campur tangan dasar dalam perancangan, negara akan mengekalkan momentum pertumbuhannya.
''Momentum kita baik, ada banyak program. Kita tidak mempunyai masalah dalaman, namun terdapat masalah di rantau ini dan negara maju pula berhadapan cabaran yang akan menjejaskan ekonomi kita pada tahap tertentu.
"Saya yakin unjuran itu adalah sebelum campur tangan dasar baharu. Kami akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan matlamat dan unjuran ini memberikan Malaysia sebab untuk berusaha lebih keras.
"Menerusi dasar tambahan, langkah yang tepat, memastikan projek dilaksanakan dengan penyertaan aktif sektor swasta dan fasa pelaksanaan yang lebih pantas," katanya pada sidang media selepas melancarkan laporan Bank Dunia ke atas ekonomi Malaysia di sini.
Schellekens berkata, jika kerajaan Malaysia melaksanakan secara konsisten reformasi struktur, terdapat peluang peningkatan untuk negara mengekalkan momentum pertumbuhan.
"Malaysia perlu menunjukkan komitmen padu yang akan memacu pertumbuhan, bagaimanapun cabarannya ialah ketidaktentuan ekonomi global," katanya.
Beliau berkata, bagi memenuhi sasaran pertumbuhan Rancangan Malaysia Ke-10, Malaysia perlu mencatatkan peningkatan ketara dalam produktiviti dan pelaburan.
"Dua pendekatan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan menggabungkan dasar pengurangan dengan projek utama swasta, menyediakan platform yang baik,'' ujarnya.
Schellekens berkata, Wawasan 2020 boleh dicapai dengan syarat ETP dilaksanakan sepenuhnya. - utusan